Niat hendak membantu masyarakat lebih mudah terlaksana melalui kerjasama pelbagai pihak samada agensi kerajaan mahupun korporat. Apabila matlamat utama diperincikan dengan penglibatan setiap pemegang taruh, insha-Allah apa saja dapat dikecapi bersama!
Pada tahun lepas saya berkesempatan berkongsi hajat dengan saudara Fei Xiang dari YoloFoods untuk memberikan akses kepada makanan berkhasiat bagi setiap lapisan masyarakat. Cabaran pertama tidak dapat dinafikan dari segi kos, tetapi kami berdua bersependapat amalan pemakanan sihat itu satu pelaburan jangka masa panjang. Kemudian bagaimanakah kita hendak meyakinkan sesebuah komuniti itu untuk menukar diet mereka tanpa membuat kami dilihat sebagai terlalu ekstrem.
Berpandukan falsafah kami, ‘sifat ihsan membentuk keperibadian seorang insan’, YoloFoods telah mengambil langkah pertama melalui program mereka di mana setiap pembelian YoloFoods akan disusuli oleh tajaan mereka. Komitmen diberikan sebanyak 200 paket sebulan selama 6 bulan akan datang! Pengagihan akan diuruskan sepenuhnya oleh Pertubuhan Jaringan Insan Madani dan pada masa sama, kami akan menambah jumlah paket sekiranya ada keperluan lebih.
Inisiatif sebegini merupakan langkah awal untuk membantu menaikkan taraf kehidupan masyarakat. Bila masuk kejiranan baru kita bawa makanan dahulu kemudian barulah bawa perubahan dari segi sosioekonomi melalui jambatan kepercayaan yang telah dibina.
Terima kasih kepada saudara Hadi yang telah bekerja keras membantu dengan gerak kerja di lapangan bersama pihak urusetia dan jawatankuasa yang terlibat pada hari ini. Semoga kita mampu melakar masa depan negara melalui perkongsian tanggungjawab bersama. Nantikan kehadiran kami di kawasan seterusnya!


