Aktiviti riadah mampu memberi impak positif kepada masyarakat selain daripada ruang mengeratkan silaturahim. Matlamat lebih besar mampu dikecapi bersama apabila tenaga dan sumber yang diperlukan dapat diagihkan. Komuniti basikal ‘Cycle With Karen’ merupakan salah satunya dan pengasas kami Saudara Aidi berkesempatan untuk berkayuh sambil menyumbang kepada Pertubuhan Kebajikan Warga Tua Wen Xin.

Beberapa barangan asas telah disumbangkan oleh setiap pengayuh komuniti basikal CWK, malah ada yang telah memanfaatkan bantuan one-off RM100 Sumbangan Asas Rahmah untuk membeli barang sumbangan. Resit juga diberikan kepada setiap sumbangan berbentuk tunai bagi menjamin tatakelola yang baik.
Semoga peluang sebegini menguatkan lagi azam setiap rakyat Malaysia untuk membantu satu sama lain di saat ketidaktentuan dan cabaran kehidupan hari ini. Hubungi kami sekiranya ingin menjayakan sebarang usaha kebajikan atau program yang berpeluang membentuk sahsiah masyarakat.
